Kucintakan para salihin tapi bukanlah aku kalangan mereka
Moga dengan mereka kudapatkan syafaatnya
Kubencikan para pelaku maksiat durhaka
Walaupun perlakuanku sama seperti mereka
Syaikh Abdul Hamid Kishk, ulama buta lulusan usuluddin dari al-Azhar
asy-Syarif. Beliau telah hafal kitab suci al-Quran pada usia 8 tahun. Terkenal
sebagai seorang da`i dan khatib yang berani dan lantang menyeru kepada kebenaran.
Kelantangannya mengkritik pemerintah menyebabkan beliau pernah beberapa kali
dimasukkan ke penjara. Beliau dilahirkan di sebuah kampung kecil yang terletak
berhampiran dengan Iskandariah bernama Shibrakheet dalam tahun 1933. Pada hari
Jumaat, 26 Rajab 1417 (6 Disember 1996) sewaktu memperingati peristiwa Isra`
& Mi'raj, dalam sholat ketika bersujud pahlawan mimbar ini diambil kembali
ke rahmatUllah. .... Allahu ... Allah. Beliau meninggalkan ribuan rakaman
ceramah dan khutbah yang mampu menggegarkan jiwa pendengarnya serta karangan
kecil dan besar kira-kira 115 buah. Moga rahmat Allah sentiasa mencucuri ke
atasnya ... al-Fatihah.
Di sini aku hendak menukilkan satu kisah yang disampaikan dalam salah satu
khutbahnya berhubung Imam kita asy-Syafi`i r.a. Dalam himpunan khutbahnya yang
diberi jodol "Huna Madrasatu Muhammad s.a.w.", halaman 48 beliau
menulis:
"Imam asy-Syafi`i r.a. berkata: "Aku telah bermimpi melihat Junjungan
Nabi s.a.w. tatkala aku berusia 7 tahun. Junjungan Nabi s.a.w. bersabda kepadaku:
"Wahai Syafi`i, adakah engkau tahu siapa aku?" Lalu jawabku:
"Aku daripadamu dan engkau daripadaku, Ya RasulAllah." Maka Junjungan
Rasulullah s.a.w. pun meletakkan mulut baginda ke mulutku sehingga bercampur
air ludahku dengan air ludah baginda, lalu aku mengetahui ilmu-ilmu yang ada di
antara langit dan bumi (yakni ibarat bagi terbukanya pintu keilmuan yang luas).
Ketika gementar aku, baginda meletakkan tangannya ke dadaku lalu tenanglah
zahirku dan terpancarlah ilmu dari batinku."
Ya, Imam asy-Syafi`i menyatakan bahawa dirinya adalah daripada Junjungan Nabi
s.a.w. adalah kerana beliau mempunyai nasab kepada Hasyim bin 'Abdu Manaf,
nenda Junjungan Nabi s.a.w. Ibunya pula bernasab kepada Sayyidah Fathimah
az-Zahra` r.'anha, manakala isterinya, Sayyidah Hamiidah, adalah dari nasab
Sayyidina 'Utsman bin 'Affan r.a.
Sungguh pun demikian kemuliaan yang dimilikinya, namun pernah satu ketika
tatkala bersama muridnya Imam Ahmad bin Hanbal, Imam asy-Syafi'i melantunkan
syair berikut:-
Kucintakan para salihin tapi bukanlah aku kalangan mereka
Moga dengan mereka kudapatkan syafaatnya
Kubencikan para pelaku maksiat durhaka
Walaupun perlakuanku sama seperti mereka
Mendengar syair gurunya, Imam Ahmad membalas balik dengan penuh adab ketinggian
dengan katanya kepada Imam asy-Syafi`i: Ya Sayyidi,
Kau cintai para salihin dan engkau dari kalangan mereka
Akan terhasil segala syafaat dengan kalian semua
Dan kebencianmu kepada pelaku maksiat durhaka
Moga Allah memelihara dirimu dari kejahatan mereka
Allahu ..Allah, begitulah sikap tawadhu` yang ditunjukkan oleh Imam kita
asy-Syafi`i. Walaupun berada di puncak keilmuan dan kesholehan, tetap tidak
mengaku punya apa-apa maqam di sisi Allah s.w.t. Sentiasa merasakan dirinya
hina dan masih bermaksiat kepada Allah. Benarlah perkataan sebahagian:
Punca keberuntungannya para ulama adalah tawadhu.
Allahu ...Allah, bukan saja ulama, umat semuanya disuruh bersikap tawadhu`.
Tidak membesarkan diri, walaupun menyandang berbagai predikat. Jika umat biasa
dikehendaki untuk tawadhu`, maka apatah lagi para pemuka umat. Junjungan Nabi
s.a.w. bersabda:-
Sesiapa yang bersikap tawadhu, Allah akan mengangkatkannya; Dan sesiapa yang
sombong membesarkan dirinya, Allah akan merendahkannya.
Maka dari itu telah berkata sebahagian hukama:-
Tawadhu` adalah tangga untuk mencapai kemuliaan.
Untuk Download Artikel Klik Gambar